20120414

Insecurity I

Aku tak boleh dilingkari orang-orang yang 'tinggi'.

Orang-orang yang bijak pandai, berbual dalam bahasa bombastik dan terma-terma rumit, jelas melukis paras IQ mereka yang mencakar langit.

Orang-orang yang mencapai banyak pada usia muda dan bercerita mengenainya, dan ia tentulah bukan salah kerana benar, mereka memang sudah mencapai banyak pada usia muda.

Wanita-wanita yang sangat lincah, sangat cantik, peka acara terbaru yang terjadi di sekeliling, tahu tiap-tiap butik yang sedang hangat diperkatakan.

Pemuda-pemuda yang berkeyakinan tinggi dan bercakap mengenai gadis comel 1, gadis manja 2, gadis ayu 3 dan gadis matang 4 yang menuju mereka, sementara mereka sibuk dengan tugas berat lagi hebat sebagai doktor, arkitek, jurutera, peguam.

Aku tak boleh dilingkari orang-orang yang tinggi begini. Bila mana mereka berbual, aku cuma mampu diam., dan minda aku merewang tertanya dari mana mereka jumpa keyakinan setinggi ini. Kenapa aku tak ketemu keyakinan setinggi ini walaupun pernah aku cari.

Kemudian pada malamnya aku mengesot ke atas katil, tubuh hina aku merengkot dan perlahan-lahan bergulung kecil, memikir bagaimana mereka boleh bernafas tanpa rasa ini. Bagaimana aku saja yang diselaputi rasa ini. Bagaimana aku boleh tersangkut di stesen ini ; di kalangan mereka yang hidupnya sudah terlalu penuh, jiwanya sudah terlalu padat, berbanding aku yang saban hari cungap-cungap terapung, kakiku cuba mengayuh, kepalaku cuak mendongak, agar aku tidak tenggelam dan mati lemas dalam rasa yang sudah di takat tengkuk ini.

Wani Ardy
Langit Vanilla
[ 104 - 105 ]

No comments:

Post a Comment